Pengenalan
Imam Muslim Az-Zanji berkata, Nabi Muhammad S.A.W pernah berdoa, “Ya Allah ya Tuhanku, hadiahkanlah bangsa Quraisy seorang ulama dari kalangan mereka sendiri yang akan melimpahi permukaan bumi ini dengan ilmu pengetahuannya.”
Kemudian Imam Muslim Az-Zanji berkata lagi, “Baginda S.A.W juga pernah bersabda bahwa akan ada seorang alim ulama dari kalangan kaum Quraisy yang ilmunya memenuhi muka bumi ini. Saya yakin orang yang dimaksudkan dalam hadis itu adalah Imam Syafie”
Beliau begitu yakin Imam Syafie adalah orang yang dimaksud dalam hadis itu kerana Imam Syafie berasal dari keturunan Quraisy. Nasabnya bertemu dengan nasab Nabi Muhammad S.A.W. Setelah Rasulullah dan para sahabat meninggal dunia, baru sekarang muncul seorang yang begitu alim dari keluarga kaum Quraisy.
“Saya setuju dengan kata-kata tuan,” dukung Imam Ismail Al-Kustantani. “Beliau (Imam Syafie) dilahirkan untuk menjadi seorang ulama yang hebat. Sejak berumur sembilan tahun sudah menghafal Al-Quran. Kemudian beliau juga menghafal ratusan hadis. Oleh kerana itu, saya yakin kalau beliau akan menjadi ulama hebat suatu hari nanti.”
“Sekarang pun beliau sudah menjadi ulama yang hebat. Walaupun umurnya masih muda, guru-gurunya memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengajar dan memberi fatwa. Penghormatan seperti itu belum pernah diberikan kepada seorang anak muda yang umurnya baru belasan tahun,” kata Imam Abdul Rahman bin Abu Bakar, guru fiqh Imam Syafie.
Biodata Imam Syafie
Nasab Keturunan Imam Syafie
Nama penuh Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris bin al-`Abbas bin `Utsman bin Syafi` bin as-Saib bin `Ubayd bin `Abdu Zayd bin Hasyim bin al-Muththalib bin `Abdu Manaf bin Qushay.
Riwayat Hidup Imam Syafie
Beliau dilahirkan pada tahun 150 H di Gaza Palestin dan hidup dalam keadaan yatim. Sebelum usianya mencecah 7 tahun, beliau sudah pun menghafal 30 juzuk Al-Quran. Kemudian ibunya Uzdiyyah (mengikut pendapat kebanyakan ulama dan ahli sejarawan) telah membawa beliau ke Hijaz berhampiran Kota Mekah. Di sana beliau hidup dalam keadaan yang sangat miskin. Akan tetapi, Allah S.W.T telah mengurniakan ke atas dirinya nikmat kepintaran dan kecerdikan di sisi seorang ibu yang sangat prihatin mengasuh dan mendidik beliau.
Ketika berada di kota Mekah, beliau dibawa untuk belajar akan tetapi ibunya tidak mampu untuk membayar yuran pengajian yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Namun, disebabkan beliau merupakan seorang pelajar yang sangat cerdas maka beliau tidak dikenakan sebarang yuran pun untuk belajar di situ. Pernah juga suatu ketika gurunya meminta agar beliau menggantikan untuk mengajar rakan-rakannya. Ketahuilah! Imam Syafie amat-amat menghargai jasa gurunya itu dan mengambil peluang berharga ini dengan belajar bersungguh-sungguh. Beliau tidak menghiraukan kanak-kanak yang lain bahkan sentiasa tekun membaca, menulis dan menghafal 30 juzuk Al-Quran.
Menurut Dr. Umar Muhammad Noor (2013), Imam Syafie ada berkata, “Setelah selesai menghafal Al-Quran, aku datang ke masjid dan duduk bersama dengan para ulama untuk menghafal Hadis atau masalah-masalah Fiqh (cabang ilmu Ibadah atau Fiqh). Ibuku tidak memiliki wang untuk membeli buku, maka aku mengumpulkan tulang-tulang haiwan untuk dijadikan tempat catatanku. Jika telah penuh, aku melemparkannya ke dalam sebuah bakul, sehingga terkumpul di rumahku dua bakul besar berisi tulang-temulang.”
Latar Pendidikan Imam Syafie
Memang sejak dari beliau masih kecil lagi beliau sangat berminat menuntut ilmu. Kecemerlangannya dapat dilihat semenjak dari zaman kanak-kanaknya lagi. Beliau sungguh tekun, disiplin, dan amat disenangi oleh semua guru yang pernah mengajarnya.
Beliau tidak pernah sekalipun mengeluh atau merasa bosan untuk menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan daripada pelbagai guru yang beliau temui.
Bahasa Arab dan Fiqh
Setelah mencapai usia baligh, Imam Syafie telah mempelajari ilmu berkaitan bahasa Arab dari suku Huzail di luar Kota Mekah. Antara sebab beliau memilih suku ini adalah kerana mereka sangat terkenal dengan kehalusan bahasa dan sasteranya yang tinggi. Baginya suku Huzail adalah suku Arab yang paling fasih tutur bicaranya. Menurut Imam Nawawi, Imam Syafie telah menghabiskan masa selama 20 tahun untuk mendalami bahasa dan juga sastera Arab.
Menurut Dr. Umar Muhammad Noor (2013), Mush’ab bin Abdullah az-Zubairi ada berkata, “Imam Syafie pada awalnya seorang pemuda yang sangat gemar dengan syair, sejarah dan sastera. Kemudian, beliau beralih kepada Fiqh kerana suatu kejadian”. Pada suatu hari, beliau menaiki kenderaannya sambil mendendangkan syair-syair Arab. Kebetulan pembantu peribadi ayahku ada bersamanya. Beliau lalu memukul Imam Syafie dengan cambuknya dan berkata, ”Orang sepertimu rela menjual maruahmu demi syair? Mengapa engkau tidak sahaja mempelajari ilmu Fiqh?”
Kejadian itu telah menyedarkan Imam Syafie, betapa pentingnya ilmu Fiqh itu untuk dikuasai oleh seseorang yang amat dahagakan ilmu pengetahuan. Beliau lalu mendatangi majlis Imam az-Zanji yang merupakan mufti Mekah pada ketika itu untuk belajar ilmu Fiqh. Tidak lama kemudian, beliau telah pergi ke kota Madinah untuk belajar pula daripada Imam Malik bagi mendalami lagi ilmu tersebut.
Menetap di Mesir
Menurut Imam Harmalah bin Yahya, rombongan Imam Syafie tiba di Mesir sekitar tahun 199 H. Namun begitu, Imam Ar-Rabi’ bin Sulaiman mengatakan bahawa kedatangan mereka ke Mesir ialah pada tahun 200 H.
Sebelum sampai ke negeri Mesir, Imam Syafie pernah bertanya kepada Imam Ar-Rabi’ bin Sulaiman, “Bagaimana keadaan ahli Mesir ketika tuan tinggalkan mereka?” Imam Ar-Rabi’ menjawab, “Mereka terpecah menjadi dua bahagian. Satu bahagian memihak kepada Mazhab Malik dan berjuang membelanya. Satu bahagian pula memihak kepada Mazhab Hanafi dan membelanya.” Imam Syafie lantas berkata, “Aku berharap agar dapat datang segera ke Mesir dan memberikan mereka sesuatu perkara yang akan menyatukan mereka daripada kedua-dua mazhab itu.”
Kewafatan Imam Syafie
Ketika Imam Syafie berada di Kota Kaherah kesihatannya adalah sangat tidak mengizinkan. Imam Ar-Rabi’ mengatakan, “Imam Syafie tinggal di Mesir selama empat tahun. Beliau meninggalkan 1500 helai kertas yang berisi ilmu pengetahuan yang amat bernilai. Beliau menulis kitab Al-Umm sebanyak 2000 halaman, kitab As-Sunan dan kitab-kitab lainnya yang sangat banyak dalam tempoh empat tahun tersebut. Padahal beliau sedang sakit. Sehingga ketika menunggang kuda, darah menitis hingga memenuhi khuf kerana sakit buasir.”
Imam Yunus bin Abd. al-A’la berkata, “Aku tidak pernah melihat orang yang diuji dengan sakit seberat Imam Syafie. Pada suatu hari, aku masuk ke dalam kamarnya, beliau lalu berkata kepadaku, “Wahai Abu Musa, bacakan padaku ayat 20-100 daripada Surah ali-Imran dan bacalah dengan tidak terlalu lambat dan tidak pula terlalu cepat.” Aku lalu membacanya mengikut kehendak Imam Syafie. Setelah selesai membaca, beliau berkata kepadaku, “Jangan lupa untuk mendoakanku kerana aku sedang dalam musibah.”
Imam Ar-Rabi’ bin Sulaiman berkata, “Imam Syafie meninggal dunia pada tahun 204 H pada hari terakhir bulan Rejab.” Ketika ditanya, berapakah usianya ketika beliau wafat? Beliau menjawab, “50 tahun lebih”. Dalam riwayat lain, dikatakan bahawa beliau meninggal dunia pada malam jumaat dan dikebumikan pada waktu Asar. Syeikh Ahmad Syakir memperkirakan tahun kewafatan Imam Syafie itu bertepatan pada 19 Januari 820 M.
Guru-Guru Imam Syafie
Imam Fakhru al-Razi telah menyebutkan guru-guru Imam Syafie yang sangat banyak jumlahnya. “Kami hanya akan menyebutkan guru-gurunya yang masyhur dari kalangan mereka yang pandai dalam bidang fiqh dan fatwa. Dalam karya ayahku Dhiya’uddin Umar bin Al-Hasan menyebutkan jumlahnya 19 orang guru di antaranya 5 orang berasal dari Mekah, 6 orang berasal dari Madinah, 4 orang berasal dari Yaman dan 4 orang berasal dari Iraq.”
Dari Mekah:
- Sufyan bin ‘Uyainah. [Mufti Mekah]
- Muslim bin Khalid Az-Zanji. [Mufti Mekah]
- Sa’id bin Salim Al-Qaddah.
- Daud bin Abd Rahman Al-‘Aththar. [Banyak meriwayatkan hadis]
- Abdul Majid bin Abdul Aziz bin Abu Daud. [Banyak meriwayatkan hadis]
Dari Madinah (173 H hingga 179 H):
- Malik bin Anas. [Mufti Madinah]
- Ibrahim bin Sa’d Al-Ansari. [Banyak meriwayatkan hadis]
- Abdul Aziz Muhammad Ad-Darawardi. [Banyak meriwayatkan hadis]
- Ibrahim bin Yahya Al-Aslami. [Banyak meriwayatkan hadis]
- Muhammad bin Sa’id (sebenarnya Ismail, bukan Sa’id) bin Abu Fudaik. [Banyak meriwayatkan hadis]
- Abdullah bin Nafi’ ash-Shaigh. [Murid Senior Imam Malik & sahabat Ibnu Abi Dz’ib]
Dari Yaman (179 H hingga 184 H):
- Muthraf bin Mazin.
- Hisyam bin Yusuf. [Kadi kota Shan’a]
- Umar bin Abi Salamah. [Sahabat Al-Auza’i]
- Yahya bin Hasan. [Sahabat Al-Laits bin Saad]
Dari Iraq (184 H hingga 186 H kemudian 195 H hingga 197 H):
- Waki’ bin Al-Jarrah. -Kufah.
- Abu Usamah Hamad bin Usamah. -Kufah.
- Ismail bin ‘Aliah. -Basrah.
- Abdul Wahab bin Abdul Majid. -Basrah.
Murid-Murid Imam Syafie
Imam Syafie mempunyai murid yang sangat ramai. Pernah digambarkan oleh Imam Ibrahim al-Harbi tentang ramai orang yang mahu belajar kepada Imam Syafie di saat beliau memperkenalkan fiqh barunya di Masjid Jami’ al-Gharbi, Baghdad, Iraq:
“Ketika Imam Syafie datang ke Baghdad, di Masjid Jami’ Al-Gharbi terdapat 20 majlis fiqh rasional. Tetapi setelah Imam Syafie mula memperkenalkan fiqhnya pada hari Jumaat, majlis fiqh rasional tersebut bubar dan hanya tinggal 3 majlis saja, kerana majlis-majlis yang lain pindah ke majlis Imam Syafie.”
Berikut adalah sebahagian murid-murid Imam Syafie.
Di Mekah:
- Abu Bakar Al-Humaidi. [Mufti dan Ahli Hadis Mekah]
- Abu Ishaq Ibrahim bin Muhammad Al-‘Abbasi. [Ahli Hadis Mekah]
- Abu Bakar Muhammad bin Idris. [Sahabat Imam Syafie]
- Abu Al-Walid Musa bin Abu Al-Jarud. [Ahli Fiqh Mekah]
Di Baghdad:
- Abu al-Hasan Ash-Shabbah Az-Za’farani. [Ahli Fiqh, Ahli Hadis Baghdad]
- Abu Ali Al-Husain bin Ali al-Karabisi. [Ahli Fiqh, Ahli Hadis Baghdad]
- Abu Tsaur Al-Kalbi. [Ahli Fiqh Mesir]
- Abu Abdurrahman Ahmad bin Muhammad bin Yahya Al-Asy’ari. [Ahli Fiqh, Ahli Hadis Baghdad]
- Ahmad bin Hanbal. [Mujtahid Mutlak, Pengasas mazhab Hanbali, Amirul Mukminin fil Hadis]
Di Mesir:
- Harmalah bin Yahya Bin Harmalah. [Ahli Hadis Mesir]
- Abu Ya’qub Yusuf bin Yahya Al-Buwaithi. [Imam Besar, Ahli Fiqh Mesir]
- Abu Ibrahim Ismail bin Yahya Al-Muzani. [Imam Besar. Ahli Fiqh Mesir]
- Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam.[Ahli Fiqh Mesir]
- Al-Rabi’ bin Sulaiman bin Daud Al-Jaizi. [Ahli Fiqh Mesir]
- Al-Rabi’ bin Sulaiman Al-Muradi. [Ahli Fiqh, Muadzdzin di Masjid Jami’ Fusthath- Jami’ Amr bin Al-Ash.]
Sumber : Ustaz Yasir Sabil
Kitab-kitab Karangan Imam Syafie
Sebuah atsar ada menyebut, “Ikatlah ilmu dengan tulisan.” Atsar ini memberikan motivasi kepada para ulama’ supaya mereka mencatatkan segala macam pengetahuan yang mereka miliki pada tulisan agar dapat diwariskan kepada generasi seterusnya. Sememangnya penulisan merupakan salah satu medium penyampaian ilmu pengetahuan.
Imam Syafie sangat rajin menulis. Beliau sering menulis karya apabila diminta oleh para ahli ilmu. Pernah ahli-ahli hadis meminta Imam Syafie mengarang penulisan khusus bagi mengkritik mazhab ahli ra’yi dan membela mazhab ahli hadis. Lalu, Imam Syafie pun menunaikan permintaan mereka itu. Di antara karya Imam Syafie ialah:
- Ikhtilaf al-Hadis.
Kitab ini dikarang oleh Imam Syafie bagi membahaskan mengenai kehujahan hadis ahad secara khusus dan membela sunnah secara umum. - Al-Hujjah.
Ini merupakan karya Imam Syafie ketika beliau mengajar di Baghdad, Iraq. Kitab inilah yang membentangkan pendapat lama (Qaul Qodim) Imam Syafie dalam ilmu fiqh. - Al-Mabsuth.
Kitab ini merupakan karya Imam Syafie yang menghidangkan beberapa tambahan dalam ilmu fiqh. - Al-Umm.
Ini merupakan karya Imam Syafie ketika beliau mengajar di Mesir. Kitab inilah yang membentangkan pendapat baru (Qaul Jadid) Imam Syafie dalam ilmu fiqh. - Al-Risalah.
Kitab ini ditulis oleh Imam Syafie atas permintaan Abdurrahman bin Mahdi. Inilah karya Imam Syafie yang membahaskan mengenai ilmu usul al-fiqh.
Oleh itu dapatlah kita ketahui bahawa Imam Syafie bukanlah calang-calang orangnya. Jasa dan pengorbanannya untuk ilmu dan memandaikan ummat Islam tidak dapat ditandingi oleh mana-mana orang alim yang ada pada masa kini. Ilmunya, amal ibadahnya, kecerdasan dan ketajaman fikirannya sahaja sudah tidak tertanding oleh kita. Inikan pula mengatakan bahawa mazhabnya tidak bertepatan dengan sunnah Rasulullah.
Sungguh hinalah mereka yang cuba mengapi-apikan bahawa kita tidak memerlukan mazhab sedangkan mazhab itulah dalil dan rahmat bagi orang awam.
Sumber
Syaiful Irwan. (2017, December 19). Imam syafi’i, Ulama Hebat dari Kaum Quraisy. Hidayatullah.com. Retrieved September 6, 2022, from https://hidayatullah.com/kajian/sejarah/read/2017/12/19/130956/imam-syafii-ulama-hebat-dari-kaum-quraisy.html
Muhammadalsyafie. (1970, January 1). Guru-guru Imam Al-Syafie. Mazhab Al-Syafie. Retrieved September 6, 2022, from http://mazhab-alsyafie.blogspot.com/2011/06/guru-guru-imam-al-syafie.html
Mariah. (2013, October 9). Imam Asy-Syafie. Maruwiah Ahmat. Retrieved September 6, 2022, from https://maruwiahacis.wordpress.com/2013/10/09/imam-asy-syafie/
Merah, T. (2009, May 30). Siapa Nama Ibu Imam Syafie? Retrieved September 6, 2022, from http://typeace.blogspot.com/2009/05/siapa-nama-ibu-imam-syafie.html
Muhammadalsyafie. (1970, January 1). Murid-murid Imam Al-Syafie. Mazhab Al-Syafie. Retrieved September 6, 2022, from http://mazhab-alsyafie.blogspot.com/2011/06/murid-murid-imam-al-syafie.html
Muhammadalsyafie. (1970, January 1). Karya Imam Al-Syafie. Mazhab Al-Syafie. Retrieved September 6, 2022, from http://mazhab-alsyafie.blogspot.com/2011/06/karya-imam-al-syafie.html